Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata kemalangan pada pukul 10.10 malam itu mengakibatkan Muhammad Danial Adam  Che Hasim, 17, Abdul Rahman Abdullah, 16, dan  Muhammad Nasrun Al Hakim  Nor, 14, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mereka dibawa ke hospital Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

"Kesemua mangsa masih bersekolah di Sekolah Menengah Agama Ar Rahman, Paloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pasir dan masing-masing beralamat di Kampung Jintan Chetok, Pasir Mas, Bukit Mas dan Perumahan Manal, Tanah Merah.

"Siasatan awal pihak kami mendapati kemalangan berlaku semasa ketiga-tiga mangsa dari arah yang sama dari arah Bukit Mas menghala ke Bukit Panau dan apabila sampai di tempat kejadian telah berlanggar sesama sendiri ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suzaimi berkata, kesemua mangsa terlibat tidak mempunyai  lesen memandu yang merupakan satu kesalahan besar ketika berada di atas jalan raya.

"Kami meminta ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen kerana ia satu kesalahan besar selain mengawal aktiviti anak-anak pada waktu malam," katanya. - Bernama