Ketiga-tiga wanita berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 petang sekitar kawasan Jeti Awam Pulau Ketam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata,  ketiga-tiga PATI didapati dalam keadaan mencurigakan dengan hasil pemeriksaan kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Siasatan awal kita mendapati, ketiga-tiga wanita ini dipercayai akan berangkat pulang ke Medan, Indonesia berikutan kesemua yang membawa beg pakaian yang banyak.

"Mereka dipercayai menggunakan khidmat bot pom-pom untuk pulang ke Indonesia secara tidak sah dengan bayaran kira-kira RM1,200 seorang,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Khairuddin berkata, kesemua PATI berkenaan kemudiannya dibawa ke markas operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, siasatan masih dijalankan dan kesemua wanita ini direman 14 hari bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. - K! ONLINE