Dalam operasi kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mereka yang ditahan adalah lelaki berusia di antara 17 hingga 20 tahun disyaki bekerja di sangkar ikan berkenaan masing-masing terletak pada kedudukan kira-kira 2.1 dan 3.1 batu nautika dari selatan Pulau Aman dekat sini.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, PATI berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan pasport dan permit kerja yang sah.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) kerana menetap dan berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

"Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim negeri untuk siasatan serta tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Hamizan, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap di kawasan perairan negeri ini termasuklah bagi membanteras kegiatan PATI.

Beliau berkata, orang ramai turut diminta menyalurkan sebarang maklumat melibatkan aktiviti jenayah atau kecemasan dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626 146. - K! ONLINE