Kejadian pukul 9.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa berusia 10 hingga 21 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kesemua mangsa berkenaan merupakan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Wave melanggar sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal berusia 21 tahun itu melanggar belakang lori berkenaan sebelum terbabas di lorong kedua.

“Susulan itu, mereka dipercayai dilanggar kenderaan yang tidak pasti. Kesemua maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) AKat Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. - K! ONLINE