Tertuduh, Muhamad Nuurul Amin Azizan, 27, dan rakannya Muhammad Syazani Mahzan, 27, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Othman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Nuurul Amin yang juga seorang pekebun bersama Muhammad Syazani, seorang penjual burger didakwa telah pergi ke Jogjakarta Indonesia melalui Jakarta dengan niat melakukan aktiviti pengganas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pukul 6.55 pagi, 26 April tahun lalu.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang pekerja restoran, Hafiz Othman, 42, didakwa dengan niat pergi ke Wilayah Senai, Mesir dari Malaysia ke Kaherah dengan niat melakukan aktiviti pengganas.

Pertuduhan ke atas Hafiz dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Gate C1 Terminal Satellite Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.05 petang, 17 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika didapati bersalah.

Mahkamah menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Rohaiza Abd. Rahman.

Akhbar sebelum ini melaporkan Muhamad Nuurul Amin dan Muhammad Syazani ditangkap di bawah Akta Keselamatan Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) di Kuala Muda Kedah pada 14 Mei lalu manakala Hafiz ditahan pada 17 Mei di bawah akta sama. - K! ONLINE