Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketiga-tiga suspek lelaki itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 11.40 pagi tadi.

“Kesemua suspek adalah warganegara tempatan berusia antara 26 hingga 35 tahun dan bekerja dalam bidang kejurulatihan seni mempertahankan diri Muay Thai.

“Salah seorang daripada suspek tersebut mempunyai beberapa rekod berkaitan dadah dan jenayah serta dikehendaki oleh IPD Cheras berkaitan kes dadah. Dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, suspek utama dalam kejadian itu yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak masih dikesan dan diarahkan untuk tampil dengan segera bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata dan kesemua suspek akan direman esok.

Akhbar hari ini melaporkan PDRM meminta Farhash untuk tampil bagi membantu siasatan berkaitan kejadian rusuhan tersebut yang berlaku pada Sabtu lalu.

Memetik Fadzil, kejadian berlaku apabila suspek telah terserempak dengan mangsa dan menolak mukanya lalu menyebabkan kekecohan di kompleks tersebut.

“Kedua-duanya diminta beredar dari kawasan itu sebelum mangsa diserang oleh sekumpulan 10 lelaki bersenjatakan topi keledar, pisau dan kerusi.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tisu pinggang, luka di tubuhnya dan sakit pada bahagian kemaluan,” ujarnya. - K! ONLINE