Lelaki berusia 38 tahun dan dua lelaki lain masing-masing berusia 23 tahun itu ditangkap oleh sekumpulan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sebuah rumah di Taman Bersatu, Bidor pada pukul 2.50 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian pada Selasa lalu, seorang lelaki berusia 60 tahun membuat laporan polis yang rumahnya dipecah masuk dengan beberapa barangan berharga telah dicuri.

"Berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan, polis berjaya menangkap kesemua suspek tersebut dan merampas beberapa barangan yang disyaki dicuri dalam kejadian berkenaan.

"Beberapa barang dirampas termasuk sebuah kereta jenis Proton Iriz, beg kain berisi dadah dan peralatan menghisap dadah, sebuah tong gas, tujuh botol arak pelbagai jenama, dua buah komputer riba, jam tangan dan duit syiling," katanya pada sidang akhbar di IPD Tapah di sini sebentar tadi.

Tambah Wan Azharuddin, hasil soal siasat ketiga-tiga suspek mengaku melakukan jenayah pecah rumah masing-masing satu kes di daerah Tapah, di Ipoh (4) dan dua kes di Sungai Siput.

"Lelaki berusia 38 tahun itu disyaki merupakan dalang utama kejadian pecah rumah dengan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan dua suspek lain dalam jenayah berkenaan.

"Berdasarkan pemeriksaan, hanya lelaki berusia 38 tahun mempunyai 10 rekod jenayah bersabit kes pecah rumah manakala dua lelaki lain pula memiliki rekod lampau membabitkan kes dadah," katanya.

Katanya, suspek berusia 38 tahun yang merupakan orang dikehendaki bagi beberapa kes di Simpang Pulai, Simpang Empat dan Gopeng itu juga mengaku melakukan kegiatan pecah rumah dengan seorang rakannya yang telah ditahan di Ipoh.

"Modus operandi suspek berkenaan adalah menyasarkan rumah yang ditinggalkan meskipun sementara bagi mereka menjalankan kegiatan pecah rumah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. -K! ONLINE