Intan Nur Liyana Suhaimi, 20; Intan Nur Syazrina dan Intan Nur Fazrina merupakan antara 4,856 penuntut yang mendaftar di UUM pada hari ini.

Intan Nur Liyana berkata, dia dan dua beradik kembarnya teruja kerana berpeluang melanjutkan pengajian di universiti sama.

"Pada masa sama, kami juga berasa sedih kerana seorang lagi adik kembar, Intan Nur Diyana terpilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia dan dua beradik kembarnya mendaftar di UUM ditemani ibu bapanya, Suhaimi Sulaiman, 51, dan Rozita Abdullah, 47. 

Katanya, dia dan Nur Syazrina mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dan Kepujian manakala Intan Nur Fazrina mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

"Adik kedua saya yang mendaftar di UiTM Rembau pada 25 Ogos lalu pula mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Maklumat dan Perpustakaan," ujarnya.

Katanya, mereka menangis selama empat hari kerana terpaksa berjauhan dengan Intan Nur Diyana.

"Kami tiga beradik kembar di sini akan membuat panggilan video dengan Intan Nur Diyana setiap kali merinduinya.

"Hubungan kami sangat rapat kerana kami tidak pernah berjauhan sejak dari tadika sehingga sekolah menengah," jelasnya.

Tambahnya, mereka mempunyai cita-cita yang sama iaitu menjadi seorang pensyarah.

Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, UUM menerima kemasukan seramai 4,856 penuntut baharu yang akan mengikuti 41 program pengajian di peringkat Sarjana Muda bagi sesi akademik 2019/2020. - K! ONLINE