Beliau berkata rumah berharga RM150,000 dan ke bawah,  RM150,000-RM300,000 dan RM300,000-RM500,000 akan termasuk dalam kategori baharu itu.

Zuraida berkata semua projek perumahan di bawah lima entiti perumahan terdiri daripada Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), UDA Holdings Bhd, Syarikat Perumahan Negara (SPNB) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diselaraskan di bawah satu program.

"Ini bermakna entiti perumahan itu akan menggunakan reka bentuk yang sama, harga dan pengurusan yang sama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex 2018), di sini, hari ini.

Zuraida berkata pelbagai usaha dilakukan untuk merapatkan jurang harga antara rumah mampu milik dan rumah mewah melalui perbincangan berterusan dengan Bank Negara Malaysia.

"Kami juga meneliti pelbagai pilihan bagi keperluan perumahan sosial di kawasan bandar, terutamanya skim sewa milik (RTO) dengan penyewa akan diberikan masa untuk merancang dan membeli rumah tersebut selepas lima tahun (menyewa)," katanya sambil menamabh skim bina-dan-jual  tidak menjadi sebahagian daripada agenda kementerian buat masa ini.

Mapex 2018 yang dianjurkan Rehda selama tiga hari akan berakhir Ahad,14 Oktober. - Bernama