Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Ainol itu merupakan adik kepada ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Menurut sumber, dalam kejadian lebih kurang 9.30 malam tersebut mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah pada ibu jari, telunjuk dan jari tengah bahagian kanan.

"Pada malam kejadian, mangsa dan keluarga menganjurkan majlis rumah terbuka di kediamannya di Kampung Limbawang.

"Dimaklumkan, ketika mangsa cuba membakar mercun secara tiba-tiba ia meletup sehingga jarinya melecur teruk dan berlumuran darah," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Lelaki itu kemudiannya dihantar ke Hospital Beaufort dekat sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Susulan insiden tersebut beberapa keping foto yang memaparkan kecederaan mangsa tular dalam laman sosial Facebook.

Sementara itu, Azizah ketika dihubungi Kosmo! enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu namun, mengesahkan lelaki terbabit ialah adiknya.

"Tragedi ini tidak berlaku di depan mata saya kerana kami berada di kediaman masing-masing. Bagaimanapun, dia (mangsa) dilaporkan stabil," jelasnya ringkas. - K! ONLINE