Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, seorang guru perempuan berusia 42 tahun rugi RM4,700 selepas dia ditipu lelaki yang menyamar pegawai polis.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa ada membuka akaun bank pada Julai lalu di sebuah bank di Sabah.

"Suspek memberitahu, akaun itu digunakan pengedar dadah dan terlibat dengan penggubahan wang haram.

"Suspek kemudiannya menyambungkan talian itu kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan mangsa bercakap dengan kenalan suspek dikenali Koperal Zamri," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mustafa menambah, lelaki berkenaan kemudian memberitahu waran tangkap sudah dikeluarkan ke atas mangsa dan tangkapan akan dibuat.

Beliau memberitahu, mangsa yang takut kemudiannya memberikan maklumat peribadi sebelum diminta memindahkan wang daripada akaun banknya kerana terlibat dengan kes.

"Mangsa kemudian mendapati wang dalam Tabung Haji dipindahkan sebanyak RM4,700 ke atas akaun CIMB atas nama Juti Ri.

"Kes kedua pula melibatkan seorang guru perempuan yang rugi RM3,000 selepas dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai polis memberitahu dia terlibat kes langgar lari.

"Mangsa perlu membayar wang ikat jamin RM3,000 selain diberitahu dia mempunyai wang RM2 juta di dalam bank hasil daripada aktiviti penyeludupan dadah," ujarnya.

Kes terakhir pula melibatkan seorang pembantu kedai yang rugi RM880 selepas tertipu kononnya dia membuat pembiayaan peribadi sebanyak RM40,000 dan mempunyai tunggakan sebanyak RM3,795. - K! ONLINE