Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pihaknya telah memberikan tempoh yang wajar kepada semua penternak melalui notis awam dan media sosial sejak 19 Mei lalu mengenai kesalahan membiarkan haiwan ternakan berkeliaran ini.

“Bagaimanapun, masih terdapat aduan daripada penduduk tempatan mengenai haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan awam.

“Oleh sebab itu kita melakukan operasi dan hasilnya MPM telah merampas tiga ekor lembu dalam operasi yang dijalankan di antara Kampung Sungai Wangi ke pekan Ayer Tawar,” katanya.

Tambah Syamsul Hazeman, dua daripada tiga ekor lembu tersebut telah pun dituntut pemilik selepas masing-masing dikompaun RM3,300 manakala seekor lagi lembu dilelong kepada orang awam dengan harga yang sama.

Katanya, operasi yang dilakukan MPM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak polis itu bertujuan menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran di daerah berkenaan sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk termasuk kemalangan membabitkan ternakan.

“MPM akan mengadakan operasi tangkapan haiwan merayau ini secara berkala dari semasa ke semasa dan skop operasi akan diperluaskan kepada haiwan-haiwan lain seperti kambing dan biri-biri.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama semua penternak supaya mengambil tindakan sewajarnya dengan memastikan haiwan ternakan tidak berkeliaran di kawasan awam,” katanya. - Bernama