Beliau berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat awal yang telah dijalankan ke atas haiwan tersebut bagi mengenal pasti punca kematian dan kemungkinan berlakunya unsur-unsur jenayah. 

"Namun, jenis racun yang dimakan masih belum diketahui kerana sampel hati dan ginjal ketiga-tiga ekor gajah perlu dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis terlebih dahulu.

"Keputusan analisis toksikologi bagi mengenal pasti jenis racun yang mengakibatkan tiga ekor gajah betina yang mati itu akan diperoleh dalam tempoh masa tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Polis Mohd. Abduh Ismail berkata, penemuan gajah mati pada pukul 9.30 pagi itu adalah susulan maklumat orang awam yang ternampak tiga ekor gajah itu terbaring bergelimpangan di kampung berkenaan. - Bernama