Operasi itu melibatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, tempoh percubaan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan pembukaan pintu sempadan daripada 18 jam kepada 24 jam.

“Bagi tujuan itu, Malaysia dan Thailand masing-masing mewujudkan pasukan penilai untuk mengenal pasti sejauh mana keberkesanan pembukaan pintu sempadan secara 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan pintu sempadan bagi laluan kenderaan berat dan kargo di sempadan Malaysia-Thailand di sini tengah malam tadi.

Hadir sama melancarkan majlis ialah Penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anaman dengan disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kata Marzuki, operasi secara 24 jam itu diyakini mampu meningkatkan hubungan dagangan, menarik pelaburan asing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua buah negara.

“Ia juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chaisiri berkata, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada aspek perdagangan dan perkembangan industri logistik.

“Aliran trafik keluar masuk pada waktu siang juga dijangka menjadi lebih lancar apabila pergerakan kenderaan berat boleh dilakukan sepanjang masa terutama pada tengah malam sehingga awal pagi,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi laluan kenderaan berat di ICQS Bukit Kayu Hitam di sini dibuka secara 24 jam mulai tengah malam tadi. - K! ONLINE