Dalam kejadian pukul 4 petang itu, Abd. Hamid Saiun, 62, yang merupakan pesara polis bersama isteri, Jamilah Kasan, 56, dan anak lelakinya, Muhammad Amin Firdaus, 16, terselamat selepas berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut. 

Menurut Abd. Hamid, ketika kejadian kesemua mereka yang berada di ruang tamu tingkat bawah mendengar dua bunyi letupan bahagian bilik tingkat atas rumah. 

Katanya, dia kemudiannya meminta Muhammad Amin memeriksa keadaan di tingkat atas sebelum dimemaklumkan sebuah bilik tidur telah terbakar. 

"Saya bergegas ke tingkat atas untuk melihat sendiri keadaan bilik tersebut dan dapati api sudah marak dengan cepat menjilat dinding dan bumbung rumah. 

"Sejurus itu, saya segera turun ke tingkat bawah dan meminta isteri dan anaknya keluar dari rumah itu bagi menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Jelas Abd. Hamid, dia hanya sempat mengalihkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan dua buah motosikal dari garaj yang bersambung dengan rumah ke tempat selamat. 

Tambahnya, akibat kejadian tersebut dia menanggung kerugian lebih RM120, 000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Muhammad Khuzaimey Ibrahim berkata, seramai 20 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.11 petang. 

"Kami mengambil masa 30 minit bagi mengawal kebakaran dari merebak ke rumah bersebelahan. 

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 1 jam 30 minit kemudian dengan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan ," katanya. - K! ONLINE