Menurut mangsa, Kamarudin Ismail, 70, ketika kejadian pada pukul 9.10 malam itu, dia berada di dalam tandas sementara isterinya, Faridah Hashim, 60 berada di ruang tamu untuk memberikan ubat kepada anak mereka, Mohd, Aniza, 41, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya mendengar bunyi yang sangat kuat dari pokok itu dan kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila bumbung rumah runtuh dan menghempap isteri serta anak saya.

“Kebetulan pula, bekalan elektrik terputus dan sukar untuk saya melihat keadaan di dalam rumah kerana tandas berada di luar. Namun, saya boleh dengar suara isteri meminta tolong dan mengadu kesakitan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini hari ini.

Kamarudin menambah, setengah jam kemudian dia berjaya keluar melalui lubang pada dinding tandas itu dengan bantuan jiran sekitar sebelum mencari isteri dan anaknya yang masih terperangkap dalam runtuhan bumbung rumahnya.

“Saya hanya menemui mereka kira-kira 40 minit kemudian. Anak cedera ringan tetapi isteri cedera di bahagian belakang lehernya kerana terkena struktur rumah yang runtuh. Mereka segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kebiasaannya kami akan masuk tidur pada pukul 9 malam tetapi pada hari itu, kami belum merasa mengantuk pula. Tidak dapat dibayangkan jika kejadian berlaku semasa kami tidur, sudah pasti kami tidak dapat keluar kerana besi pada bumbung jatuh tepat mengena tilam bilik saya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mereka sekeluarga sudah menetap di sana selama 20 tahun dan ia adalah kejadian terburuk selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin beberapa tahun lalu.

“Keluarga saya mengalami kerugian bernilai RM45,000 kerana banyak barang yang rosak dan struktur rumah juga musnah 100 peratus.

“Pada masa kini, saya tinggal sementara di sebuah dewan berhampiran dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berbentuk keperluan asass dan juga wang tunai. Isteri dan anak lelaki tinggal sementara di rumah anak saya yang lain kerana masih trauma,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai tujuh anggota bersama satu jentera dan kenderaan ERMS dikejarkan ke lokasi kejadian. Namun setibanya di lokasi, kesemua mangsa sudah menyelamatkan diri dan kes seterusnya diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada mereka dalam bentuk wang tunai boleh berbuat demikian melalui nombor akaun CIMB, 14140089070 atas nama Kamarudin Ismail. - K! ONLINE