Barangan kelengkapan itu disumbangkan oleh Majlis Belia Jajahan Gua Musang selepas bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan.

Tiga beradik itu ialah Nur Aidil Balqis Abdul Rahman, 13, Nur Alia Adila, 11, dan Nur Alia Apira, 9.

Ibu tiga beradik itu, Zuraini Mat Rani, 31, berkata, dia terharu apabila nasib mereka anak beranak mendapat perhatian pelbagai pihak. 

“Impian anaknya untuk bersekolah juga semakin cerah apabila menerima kunjungan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di rumah sewanya baru-baru ini. Mereka bertiga juga dijanjikan untuk tinggal di asrama bagi meringankan beban tanggungan kami.

“Sebelum ini juga saya tidak dapat menyediakan kelengkapan sehingga anak-anak terpaksa tidur beralaskan lantai. Saya juga berterima kasih kepada seluruh penderma yang memberi sumbangan barangan keperluan dan wang yang bersimpati dengan nasib kami,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan keperluan itu yang disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abd. Ghani di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Azmawi berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk memberi bantuan kepada keluarga berkenaan selepas membacanya di akhbar dan media sosial.

“Kita berharap orang ramai dapat memberi sumbangan kepada keluarga tiga beradik dan ahli keluarganya,” katanya.

Akhbar ini hari ini menyiarkan kisah tiga beradik yang hidup dalam kemiskinan dengan menyewa rumah di Kampung Panggong Lalat, terpaksa berhenti sekolah sejak April tahun lalu.

Mereka sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor, Tumpat dan ibu bapanya berhijrah ke Gua Musang untuk mencari peluang pekerjaan menoreh getah. - K! ONLINE.