Che Zainah Che Ibrahim, 67; Che Manai, 73, dan Halijah, 78, yang tinggal sehelai sepinggang kini terpaksa menumpang sementara di bengkel kraftangan milik mereka terletak berhampiran.

Menurut Che Manai, dia tidak menyangka anak saudaranya yang berusia 28 tahun itu sanggup membakar rumah tersebut hanya kerana tidak diberi wang.

"Pada sebelah pagi, dia (suspek) ada minta wang RM10 dan saya beri kepadanya tetap dia minta lagi wang pada sebelah petang.

"Dia minta semua wang yang ada pada saya tetapi saya enggan menuruti permintaannya kerana tahu dia yang mengalami ketagihan gam mahu beli gam untuk menghidunya," katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Kampung Titi Besi di sini hari ini.

Katanya, suspek yang berang kemudian mengugut untuk melakukan sesuatu kepada mereka dengan berkata 'hang beringat'.

"Saya tidak sangka dia sanggup bakar rumah sendiri hanya kerana tidak dapat wang untuk beli gam," katanya.

Ujarnya, kebakaran itu mengakibatkan semua persiapan raya termasuk baju kurung yang dihadiahkan seorang anak saudara musnah.

"Saya telah menggosok baju kurung baharu itu dan menggantungnya di dalam almari, namun sayangnya tidak sempat memakainya," jelasnya.

Tambahnya, anak saudaranya itu tinggal bersama mereka sejak berusia 10 tahun dan dijaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Terdahulu, Azlan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk membina rumah baharu buat mangsa dalam masa terdekat ini. - K! ONLINE