Kejadian itu terbongkar selepas salah seorang mangsa perempuan berusia 12 tahun membuat laporan polis kira-kira pukul 10 malam pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya yang menerima laporan tersebut telah menangkap suspek berusia 32 tahun dan seorang tomboi berusia 33 tahun dalam serbuan berasingan di Butterworth dan Kepala Batas di sini semalam.

"Mangsa serta adik-baradiknya berusia lapan dan empat tahun sebelum itu mengadu telah dipukul oleh ibu dengan tali pinggang di rumah mereka.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku sejak empat bulan lalu selepas ibu mereka berkenalan dan membawa pulang tomboi tinggal bersama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek telah menghalau suaminya keluar dari rumah itu semenjak dia berkenalan dengan tomboi tersebut empat bulan lalu.

Menurut Noorzainy, kesemua mangsa akan dipukul oleh ibu mereka setiap kali dia dan tomboi dipercayai kekasihnya itu bergaduh.

"Hasil pemeriksaan pihak hospital bagaimanapun mendapati tiada kesan luka atau lebam pada badan ketiga-tiga mangsa dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

"Polis turut merampas seutas tali pinggang bersangkut kes ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. - K! ONLINE