Sewaktu diselamatkan seorang pegawai JKM negeri pada pukul 10 pagi itu, rumah sewa dihuni tiga beradik berkenaan yang ditinggalkan ibu kandung mereka dipercayai mengikut teman lelakinya ke Kula Lumpur tersebut didapati dalam keadaan bersepah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pegawai JKM Terengganu berkenaan telah melakukan lawatan ke rumah tiga beradik tersebut  selepas menerima aduan daripada jiran-jiran mangsa yang bimbang keselamatan kanak-kanak terbabit. 

"Siasatan mendapati ketiga-tiga beradik itu dipelihara ibu mereka yang merupakan ibu tunggal yang telah berpisah dengan suaminya sejak beberapa tahun lalu. Mereka disyaki telah ditinggalkan secara bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa di dalam rumah tersebut selama tiga hari sejak hujung minggu lalu.

"Tiada sebarang nota ditinggalkan ibu mereka dijumpai di dalam rumah sewa berkenaan. Sepanjang tempoh itu juga, ketiga-tiga beradik itu mendapat belas kasihan daripada jiran-jiran yang menghulurkan duit bagi membeli makanan harian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, siasatan lanjut JKM Terengganu juga mendapati hanya abang sulung berusia 12 tahun bersekolah di sebuah sekolah rendah di Kuala Berang dekat sini namun rekod kehadirannya amat tidak memuaskan. - K! ONLINE