Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam, mangsa berusia 19 tahun sedang berada di rumah tersebut sebelum didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Nissan Navara.

Tiga suspek yang tidak dikenali itu bertindak menggari tangan mangsa sebelum membawanya ke sebuah lagi rumah sewa rakannya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, mangsa melihat salah seorang daripada lelaki itu membawa objek menyerupai pistol yang diselit di seluar bahagian depan namun senjata itu tidak dikeluarkan atau diacu kepadanya.

"Dalam kejadian itu mangsa kerugian RM2,500. Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan tiga suspek yang merupakan anggota polis yang masing-masing bertugas di Terengganu, Pasir Mas dan Kota Bharu berusia 26 hingga 27 tahun.

"Kita telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata," katanya. - K! ONLINE