Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pihaknya telah menerima semua cadangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan telah menyerahkannya kepada pihak terbabit meneliti setiap perancangan bagi kertas kerja berkenaan.

Menurutnya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob juga sedang berunding dengan kedua-dua agensi terbabit untuk membincangkan tentang perkara berkenaan.

“Cadangan pemuliharaan Hutan Merapoh akan diteliti oleh PKPP dan Yayasan Pahang bersama Jabatan Perhutanan Pahang.

“Setakat ini kerja-kerja telah dihentikan terutama dalam tempoh monsun Timur Laut dan pemantauan berterusan turut dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Pahang bagi mengelakkan sebarang pencerobohan,” katanya pada sidang akhbar pada majlis perasmian penutupan Minggu Inovasi Majlis Perbandaran Kuantan di sini kelmarin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, JAS telah mengesahkan bahawa pembalakan di Hutan Merapoh telah diberhentikan sepenuhnya selepas melakukan pemantauan pada Ahad lepas.