Namun kegiatan licik lelaki berusia 40 tahun itu menjadikan kebun getah sebagai ‘port' menjual dan menghisap dadah dapat dihidu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri minggu lalu.

Penolong Pengarah AADK Johor, Mohd. Faisal Maksom berkata, lelaki berkenaan antara 21 individu termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam satu serbuan Ops Bersepadu di kawasan Pasir Gudang, Selasa lalu.

“Sebelum melakukan serbuan, pihak kita seawal pukul 4 pagi telah bersembunyi dan memerhatikan pergerakan penagih ini memasuki kawasan kebun getah yang dijadikan port untuk mereka melepaskan gian.

“Sejurus menyedari kehadiran kita, mereka lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri selain bersembunyi di dalam semak berdekatan namun tindakan mereka tidak berhasil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Faizal berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati lelaki terbabit merupakan tokan membekalkan dadah kepada penagih sekitar kawasan Masai selain mendirikan khemah untuk dijadikan markas operasi mereka.

Jelasnya, dalam serbuan tersebut AADK berjaya merampas 27.96 gram (g) dadah jenis heroin dan 2.99g syabu serta peralatan menghisap dadah. - K! ONLINE.