Harussani berkata, ia berikutan orang bukan Islam tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama Islam seperti penganut agama Islam itu sendiri. 

“Orang bukan Islam akan lebih cenderung memberikan pandangan berdasarkan akal dan kepentingan diri mereka semata-mata. 

“Perkara ini bercanggah kerana tradisi dan falsafah pendidikan Islam adalah bersumberkan hukum daripada al-Quran dan as-Sunnah (Hadis) serta sumber-sumber yang disepakati para ulama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambah Harussani, adalah sangat tidak wajar untuk membuka ruang kepada semua warganegara tanpa mengira agama memberikan pandangan mereka berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam. 

“Saya khuatir sekiranya penglibatan bukan Islam di dalam cadangan penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam ini dibenarkan, ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenarnya. 

“Saya menyokong segala usaha kerajaan untuk menambahbaik sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam namun usaha tersebut mestilah dilakukan tanpa mengurangkan silibus mata pelajaran yang sedia ada,” katanya. 

Katanya, penambahbaikan ini juga tidak hanya fokus kepada mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja, malah subjek lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain turut perlu dilakukan. 

“Ia perlu dilakukan agar para pelajar berbilang kaum mendapat kefahaman yang maksimum sekaligus meningkatkan kualiti pendidikan negara dan memupuk perpaduan nasional. 

“Bagaimanapun, kajian tersebut biarlah dijalankan oleh ahli yang berkelayakan,” katanya. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu-isu melibatkan subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan. - K! ONLINE