Memandangkan durian yang terlalu banyak, maklumlah nenek memiliki dusun seluas lebih lapan hektar, ia telah menjadikan saya menjadi ‘sombong’ kepada durian.

Saya sangat cerewet memi­lih durian, hanya mengutamakan durian isi terbaik yang berwarna kuning dan rasanya lemak manis.

Saya akan menolak mentah-mentah durian yang be­risi putih meskipun pelbagai alasan yang diberikan oleh nenek dan ayah untuk mencubanya. Daripada ‘kesombongan’ itu, saya tidak makan menu lain berasaskan durian seperti cucur durian, aiskrim, serawa, pulut durian dan juga tempoyak.

Tetapi kini disebabkan konflik keluarga dusun buah-buahan yang subur itu, ia terpaksa dijual kepada usahawan yang berminat, namun kami bersyukur tapak dusun itu dibina pondok-pondok untuk sebuah pengajian tahfiz.

Sepanjang saya membesar dengan pelbagai pengalaman diperoleh dari dusun durian tersebut, banyak saya pelajari berhubung durian dan berniaga serta menghargai jasa baik nenek yang terlalu baik kepada saudara-mara, rakan dan pelanggannya.

Ini kerana, selain membeli, mereka juga dijamu durian percuma oleh nenek dan bapa yang membuatkan ramai pembeli setianya kerap berkunjung ke dusun.

Saya dan adik-beradik kadang-kadang berasa agak marah dengan sikap nenek kerana dia terlalu baik hati menjual pada harga murah dan membenarkan mereka mengambil sesuka hati durian jika buahnya jatuh ketika mereka berada di sekitar dusun.

“Jangan kedekut, lagi ba­nyak kita bersedekah, lagi banyak pokok durian itu akan berbuah,” pesan nenek kepada kami.

Pernah satu musim, nenek mengeluh kerana musim buahnya tidak menjadi. Dia menyifatkan pokok durian miliknya itu ‘merajuk’ kerana tidak mengeluarkan hasil yang banyak atas masalah salah faham yang berlaku dalam kalangan ahli keluar­ganya.

Itu antara kenangan manis saya bersama arwah nenek, bapak dan mak di dusun durian, memori itu sekali sekala menggamit rasa rindu kami kepada mereka dan mahu membawa anak-anak remaja kami ke dusun yang penuh semak samun, nyamuk, semut, pelbagai jenis ulat, memijak tali air untuk mencari buah durian.

Kami juga mahu mengajar mereka mencari durian dan mengandar bakul berisi penuh durian di bahu masing-masing untuk dibawa keluar dari dusun durian.

Pada masa sekarang, jika saya benar-benar teringin menikmati Raja Buah itu, saya terpaksa membeli durian­ di pasaran semasa. Ketika itu, saya tidak sombong lagi kepada durian kerana ia menjadi antara makanan kegemaran saya.

Namun harganya kini terlalu mahal. Bayangkan bila saya menikmati durian Musang King gred AAA yang dijamu oleh seorang rakan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini harga yang ditawarkan adalah hampir RM90 sebiji.

Trend perniagaan durian sekarang banyak dikuasai usa­hawan bermodal besar dan ia bakal menjana nilai perolehan lumayan dan mampu menjadikan pemilik ladang berkenaan jutawan dalam tempoh akan datang.

Pastinya selepas ini, hanya mereka yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi sahaja dapat menikmati Raja Buah itu tetapi bagaimana pula dengan nasib mereka yang berpendapatan kecil dan sederhana?

Saya yakin, fenomena pe­ningkatan harga durian tanpa kawalan ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang.

Sehubungan itu, masya­rakat perlu bijak memilih durian yang bersesuaian dengan bajet masing-ma­sing.

Kementerian yang ber­kaitan juga perlu mengadakan lebih banyak program jualan durian pada harga mampu milik selain memantau perkembangan harga runcit yang ditawarkan di pasaran semasa bagi mengelakkan tiada unsur penipuan dalam jualan mereka.