Terbaru, premis milik lelaki berkenaan diserbu sekali lagi oleh sepasukan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan serta beberapa orang wakil daripada pemilik cap dagang berdaftar susulan hasil risikan yang telah dilakukan. 

Pengarah Pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ummi Nasrah Othman berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.50 petang dan sebanyak 1,317 unit jam tangan disyaki tiruan bernilai RM19,755 telah disita. 

"Antara jam-jam tangan disyaki tiruan yang disita terdiri daripada jenama terkenal seperti Adidas, Tommy Hilfiger, G-Shock, Puma, Casio, Gucci, Baby-G dan Michael Kors yang didapati turut dijual secara online. 

"Turut ditahan adalah seorang lelaki pemilik premis berusia dalam lingkungan 40-an dan seorang pekerja wanita berusia 20-an," katanya pada satu sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan di  Menara Sunway Putra di sini hari ini. 

Menurut Ummi, premis milik lelaki tersebut pernah diserbu pada 2016 dan 2018 lalu dan kes serbuan pertama itu telah didaftarkan di mahkamah serta sedang menunggu perbicaraan yang dijangka pada Mei ini. 

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu dalam kawalan atau jagaan, barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar. 

"Kedua-dua individu yang ditahan kini direman tiga hari bermula hari ini hingga lusa di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kementerian menerusi Bahagian Penguatkuasaan memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan dan cetak rompak. 

"Hormati hak harta intelek atau peniaga barangan tiruan bakal menerima hukuman berat yang ditetapkan oleh undang-undang," tegas beliau. - K! ONLINE