Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu mengakui terlibat dalam kes pecah premis pejabat berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi pada Selasa lalu itu, pengurus pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini menyedari bahawa kunci pintu belakang di tempat meletak kenderaan telah dipecahkan.

“Dia turut mendapati bahawa dinding pejabat itu telah dipecahkan dan mengalami beberapa kerosakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa beberapa barangan berharga termasuk set kamera digital dan komputer riba yang bernilai kira-kira RM8,000 diambil dari premis berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Rudy menambah, bertindak atas maklumat tersebut, satu serbuan dijalankan kelmarin kira-kira pukul 7.30 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Chow Kit dan berjaya menahan suspek di Lorong Haji Taib 1, di sini,

“Pihak polis juga telah menemui semula kesemua barang yang dicuri dan mereka turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah selain didapati positif dadah jenis amphetamine.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memecah masuk ke dalam premis menggunakan alat pertukarangan dan kemudiannya melarikan barangan berharga tersebut,” ujarnya.

Kedua-dua suspek itu direman selama tiga hari bermula kelmarin hingga hari ini di IPD Dang Wangi dan permohonan reman selanjutnya akan dilakukan di hadapan majistret pada hari ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE