Lelaki berusia 80 tahun itu hanya seorang hakim yang bertugas di Mahkamah Perbandaran Providence, Rhode Island’s, AS. Setiap hari, beliau akan memutuskan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan trafik seperti kecuaian memandu atau tempat letak kereta.

Mengapa kisahnya dikongsi oleh berjuta pengguna media sosial sehingga videonya diterjemah ke sembilan bahasa berbeza di beberapa negara? Bukan itu sahaja, beliau juga memenangi hati media berpengaruh seperti USA Today, Daily Mail, NBN News, CBN News dan ABC News menulis tentangnya. 
Ia tentu sahaja bukan berkisar tentang kezaliman.

Sebaliknya, keluhuran hati hakim itu yang memberi ‘peluang kedua’ kepada pesalah yang sedang diadilinya.

Caprio sendiri tidak pernah menyangka, ‘kemaafan’ yang diberikan kepada seorang wanita, Andrea Rogers yang diheret ke Mahkamah Perbandaran Providence selepas disaman AS$400 atas kesalahan meletak kenderaan telah menjentik perasaan rakyat dunia bahawa ‘tidak rugi untuk berbuat baik sesama manusia’.

Seperti penghakimannya sejak 32 tahun lalu, Caprio akan bertanya kepada pesalah ‘sama ada anda sedar kesalahan yang dilakukan?’ dan ‘mengapa ia dilakukan?’ Dalam kes Rogers, wanita itu tersedu-sedan menjawab, dia tidak sedar kesalahannya itu kerana dirinya berdepan dengan pelbagai kesulitan selepas anaknya mati dibunuh.

Mendengar rintihan wanita itu, Caprio lantas berkata: “Saya ambil kira situasi ‘dahsyat’ yang kamu alami. Saya tak fikir sesiapa pun dalam seumur hidup mereka mahu mengalami kisah pahit sebegitu. Perasaan itu merupakan yang terburuk di dunia, saya simpati dan merasa kehilangan. Oleh itu, saya menolak semua hukuman, semoga kamu berjaya.”

Video keputusan spontan Caprio itu yang dimuat naik oleh sebuah produksi itu menjadi buah mulut ramai. Masing-masing memuji bagaimana seorang hakim mempunyai sikap yang mulia, boleh bertoleransi dengan masalah manusia lain dan sebolehnya mahu pesalah belajar untuk menjadi insan yang lebih baik.

Bukan hanya kepada Rogers, malah Caprio sebenar­nya telah memberi banyak peluang kepada pesalah lain membina ‘kehidupan baharu’. Kesan video yang tular itu, Rogers telah dibantu dari aspek kewangan oleh rakyat AS yang mewujudkan kempen GoFundMe.

Caprio juga seorang yang penyayang. Graduan University of Law Scholl, Boston itu tidak mampu melihat seorang anak kecil tidak bersarapan hanya semata-mata menemani ibu dan bapa mereka yang sedang menanti hukuman di mahkamah.

Menariknya tentang Caprio lagi, beliau akan memang­gil anak kepada pesalah untuk membantunya membuat pengadilan ke atas kesalahan yang dibuat oleh ibu atau bapa mereka. Pengakhiran kepada setiap kes yang dibicarakan, pasti membuatkan anda tersenyum dengan keputusan mutlak lelaki itu.

Kepada Daily Mail Online, Caprio berkata, apa yang dilakukannya itu merupakan didikan dan ‘pelajaran’ daripada bapanya yang hidup miskin. Katanya, jiwa bapanya penuh dengan sifat belas, pemaaf dan mempunyai prinsipal hidup yang teratur.

“Bapa saya pernah berkata bahawa pada satu hari, saya akan menjadi seorang peguam. Dia berpesan, jika ia menjadi kenyataan, saya tidak boleh kenakan bayaran kepada orang miskin dan terdesak. Dia mahu saya sentiasa ingat susur galur hidup keluarga kami yang penuh getir.

“Kata-kata hikmatnya saya pegang sampai sekarang. Bapa kami mahu kami ‘tinggalkan’ kebaikan untuk orang lain. Dua anak saya juga peguam, sehingga ke saat ini, mereka juga tidak akan mengenakan bayaran kepada sesiapa yang tidak mampu,” katanya.