Menurutnya, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah menamatkan kontraktor yang terlibat dengan pentadbiran terdahulu dan sedang mencari penggantinya dengan kontraktor tempatan. Daripada 28 buah pesawat berkenaan, 10 adalah jenis MiG-29N yang dibeli pada 1995 manakala selebihnya pesawat pejuang superioriti Sukhoi SU-30MKM perolehan tahun 2007.

Selain 28 buah pesawat buatan Rusia, TUDM turut meng­operasikan lapan pesawat F/A-18D Hornet dan 18 pesawat penggempur Hawk 100/200. Kedua-dua pesawat ini telah berusia 20 tahun. Sebahagian daripada pesawat Hawk ini pula ditugaskan di Labuan, Sabah.

Semestinya kenyataan Mat Sabu ini dilihat sebagai janggal disuarakan oleh individu yang menerajui Mindef. Bagaimanapun, jika dipandang pada sisi lain, kenyataan beliau ini wajar membuka mata banyak pihak. TUDM sejak lapan tahun lalu bergelut dengan kekangan belanjawan pertahanan yang terhad bagi meneruskan program pemodenan yang dirancang.

Dalam konteks kenyataan Menteri Pertahanan, faktor kemampuan untuk beroperasi juga disebabkan usia pesawat berkenaan yang memerlukan senggaraan mandatori apabila mencapai usia 10 tahun terutamanya pesawat Sukhoi SU-30MKM.

Senggaraan mandatori atau istilah kejuruteraannya rombak rawat merangkumi pemeriksaan senggaraan kepada kerangka, komponen dan juga sistem pesawat secara terpe­rinci. Jangka operasi sesebuah pesawat secara amnya dikira berdasarkan rekod jam penerbangan. Bagi pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM, difahamkan enjin pesawat ini perlu di­senggara apabila mencapai kadar 1,000 jam penerbangan.

Memandangkan pesawat Sukhoi SU-30MKM merupakan model terkini dan kali pertama melakukan senggaraan mandatori, maka ia melibatkan pertambahan masa dan kos. Senggaraan ini memerlukan pesawat berkenaan dihantar ke Rusia.

Keadaan ini memaksa TUDM melakukan senggaraan secara berhemah berdasarkan bajet operasi yang diterima seterusnya menyebabkan kadar kebaikan pesawat yang rendah. TUDM memerlukan penambahan peruntukan yang sewajarnya agar dapat melaksanakan senggaraan mandatori ini dan seterusnya meningkatkan kesiagaan pesawat Sukhoi SU-30MKM ke tahap operasi yang diperlukan.

Seperkara lagi, sejak tahun 2012, kerajaan juga masih belum memuktamadkan cadangan perolehan pesawat pejuang baharu TUDM. Antara pilihannya ialah Eurofighter Typhoon buatan United Kingdom, Rafale (Perancis), Gripen (Sweden) dan F/A-18E/F Super Hornet (AS).

TUDM merumuskan pelan transformasi yang dikenali sebagai Pembangunan Keupayaan 2055 atau CAP55. CAP55 merancang pelan pembangunan kemampuan TUDM sehingga tahun 2055 yang merangkumi perolehan dan peningkatan aset-aset TUDM baharu serta keupayaan yang hebat.

Pelan ini menyasarkan keupayaan jet pejuang TUDM yang didokong oleh dua skuadron pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) dan skuadron pesawat LCA penggempur ringan (LCA). Visi TUDM adalah untuk menjadi sebuah kuasa udara yang unggul manakala misinya ialah untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara serta kepen­tingannya melalui penggunaan kuasa udara yang berkesan.

Kali terakhir TUDM mengoperasikan aset terbaharu ialah kira-kira 11 tahun lalu menerusi perolehan Sukhoi Su-30MKM yang merupakan generasi termoden dalam keluarga Sukhoi.

Pemilihan Sukhoi menepati keperluan geografi negara ke­rana ia mampu terbang jauh termasuk melakukan pengisian minyak di udara. Kemasukan pesawat Sukhoi SU-30MKM benar-benar memberi taring kepada TUDM kerana memiliki keupayaan tempur yang berganda. Kesimpulannya, ranca­ngan pemodenan TUDM tidak wajar bertangguh lagi.