Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, proses siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti punca kebakaran sebenar dan akan dimaklumkan kemudian.

"Setakat ini tiada unsur khianat dilaporkan berlaku melibatkan kebakaran kilang-kilang ini. Kita ada saksi iatu pekerja-pekerja kilang dan mereka hanya sedar berlaku kebakaran ketika api telah marak.

"Jika nak kata ada unsur khianat pun, kilang ini (kilang-kilang terbakar) bukan kilang yang bermasalah. Kita pun sedang membuat siasatan melalui unit pengesan dan jika ada unsur itu (khianat) kita akan lapor pada pihak polis,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut Norazam berkata, pihaknya juga menasihatkan pemilik kilang supaya menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di premis masing-masing sebagai langkah awal  ketika berlaku kecemasan.

"Daripada siasatan kita, kebanyakan pekerja kilang ini terdiri daripada warga asing dan mereka tidak tahu cara menggunakan alat pemadam api jika berlaku kebakaran pada peringkat awal.

"Jika mereka ini diberi latihan, saya yakin kebakaran melibatkan kilang ini dapat dikawal dari peringkat awal serta dapat mengelakkan daripada ia merebak ke seluruh kawasan kilang,"ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Norazam menjelaskan mengikut statistik didapati sebanyak 89 kes kebakaran angkara khianat direkodkan pihaknya sehingga Jun lalu.

"Berdasarkan rekod, daripada jumlah keseluruhan itu 55 kes khianat terhadap kenderaan melibatkan kerugian RM1.3 juta dan 34 kes bagi struktur bangunan dengan kerugian RM7.06 juta," katanya. -K! ONLINE