Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun, mesyuarat itu boleh diadakan dalam masa terdekat dan pada awal tahun ini juga.  

"Ia juga tertakluk kepada hasil perbincangan yang akan saya kemukakan kepada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Jemaah Menteri," katanya kepada Bernama sebelum berlepas pulang ke Malaysia hari ini.

Beliau berada di sini sejak semalam untuk lawatan dua hala walaupun mesyuarat JMCIM itu ditangguhkan.

Lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian untuk melihat anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di kapal MV Pedoman, kapal induk jabatan itu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura tidak disenangi republik ini dan telah menyebabkan mesyuarat JMCIM ditangguhkan.

Mohamed Azmin berkata, lawatan ke Singapura tetap diteruskan untuk membuktikan kedua-dua negara bersedia untuk meneruskan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian walaupun berdepan dengan beberapa isu.

"Saya juga telah mengambil pendirian bahawa janganlah hanya satu kenyataan akan menyebabkan kita tersasar daripada objektif dan matlamat besar kedua-dua negara. Ini dapat kita tangani dengan perbincangan antara kedua belah pihak," katanya. - Bernama