Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, keputusan itu bersifat kritikal kerana peruntukan untuk lembu korban melibatkan perbelanjaan yang terlalu besar.

"Wang itu sebenarnya dapat digunakan untuk pembangunan lain yang lebih memanfaatkan rakyat.

"Ini juga sebagai salah satu langkah penjimatan yang dilakukan kerajaan negeri kerana pada tahun lalu kos untuk lembu korban hampir RM900,000.

"Jika dilaksanakan pada tahun ini, peruntukan lebih RM1 juta untuk membeli lembu korban semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Warisan di sini hari ini.

Azlan yang berusia 60 tahun berkata sedemikian selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kempen Mengibar Jalur Gemilang.

Harga lembu korban import terutama dari Thailand bermula RM4,760 hingga RM5,600 bergantung pada saiz dan jenis haiwan itu. - K! ONLINE