Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata, langkah itu bertepatan sebagai penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman plastik bermula hari ini.

Katanya, ini secara langsung mengajak orang ramai untuk terlibat dalam kempen mengurangkan sampah plastik yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar negeri ini.

"Arahan meletakkan klausa baharu bermula hari ini dan kita mahu semua pemilik premis makanan di Selangor supaya tidak lagi menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.

"Buat masa ini, kita belum mengadakan penguatkuasaan dan tindakan denda terhadap mereka yang gagal patuh pada kempen ini kerana pelaksanaannya sebenarnya adalah pada tahun 2025 nanti," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjuan hari pertama Kempen Bebas Straw Plastik di Plaza Shah Alam, Seksyen 9 di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Jelas Loy Sian, para pemilik premis menjual makanan dan minuman digalakkan beralih kepada penyedut minuman atau straw dibuat dari kertas, buluh atau besi berbanding plastik.

Ujar beliau, penyedut minuman plastik hanya akan diberikan secara percuma sekiranya diminta oleh pelanggan.

"Apa yang kita mahu adalah supaya pengguna dibiasakan dengan penggunaan straw yang dibuat dari kertas, buluh dan besi sebagai alternatif utama straw plastik," katanya. - K! ONLINE