Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, beberapa negara bersedia dan sanggup bekerjasama dengan suruhanjaya itu dalam memberi bantuan perundangan bersama termasuk menjejaki transaksi bank, harta dan apa-apa berkaitan kes rasuah.

Beliau menarik perhatian kepada 1MDB sebagai contoh sambil berkata, SPRM agak bernasib baik mendapat kerjasama yang amat baik dari negara-negara berkaitan sepanjang siasatan dijalankan.

"Kita boleh dan sudah mula (kerjasama). Bagi kes-kes rasuah berskala besar, saya fikir tidak baik bagi negara asing itu jika enggan bekerjasama dengan kita dalam usaha untuk menahan penjenayah rasuah.

"Kami mahu meneruskan dan memperluaskan kerjasama untuk memastikan tiada negara menolak permohonan kami bagi bantuan perundangan kerana itu yang kami perlukan sebagai bukti di mahkamah," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, dalam beberapa kes, ada negara-negara yang enggan bekerjasama atas pelbagai sebab termasuk kerana banyak pihak menuntut harta atau jumlah wang yang sama berkaitan kes rasuah itu.

"Mereka yang terlibat dalam amalan rasuah berskala besar sebenarnya sangat bijak dan kita perlu “membongkar seorang demi seorang” dengan siasatan lebih mendalam untuk mendapatkan bukti. Namun akhirnya, lama-kelamaan mereka masih boleh dicekup," katanya.

Latheefa berkata ada negara-negara yang tidak akan mempersoalkan apa-apa transaksi bank yang luar biasa, tetapi terdapat sebilangan besar negara yang sangat ketat yang bertanya tentang transaksi tersebut.

"Mereka juga menangani isu-isu seperti keganasan, jadi mereka perlu tahu dari punca mana wang itu, jika mana-mana negara membenarkan kemasukan wang tanpa mempersoalkannya, itu tidak membantu usaha untuk membanteras pembiayaan aktiviti pengganas, jadi mengapa tidak prinsip yang sama digunakan dalam memerangi rasuah.

"Kita sebenarnya perlu menggesa negara itu untuk mendedahkan kepada kita sumber pendapatan tersebut, dan jika kita benar-benat dapat menunjukkan bahawa kita tahu sumber itu kerana apabila kita mengambil keterangan dari saksi-saksi atau suspek, kadang-kadang mereka akan mengaku dan kita boleh menunjukkan kepada kerajaan itu dan meminta bantuan untuk memperoleh semula wang itu,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata SPRM akan memberikan perhatian yang sama kepada kes rasuah kecil dan besar, tanpa mengira mereka yang terlibat.

"Kes profil besar, kecil atau berprofil tinggi, kami akan memberi perhatian yang sama. Tetapi jika situasi kes berprofil tinggi sangat serius, kami akan memberi perhatian segera kepadanya kerana kami khuatir jika tidak, semua (keterangan) itu akan lenyap, " katanya. - Bernama