Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peringkat Kabinet kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak menyekat penggunaan bahasa Inggeris di Sabah.

Menurut Mohd. Shafie, perlembagaan negara juga tidak menyatakan sekatan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam institusi pendidikan sehingga melangkaui kedudukan bahasa rasmi negara.

"Kita sedar bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan, tetapi tiada sekatan untuk menggunakan bahasa lain dalam pembelajaran.

"Sekolah Cina contohnya, menggunakan bahasa Cina, sekolah swasta menggunakan bahasa Inggeris malah ada setengah mata pelajaran seperti Sains juga pernah menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Forum Malaysia anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO) di sini hari ini.

Hadir sama, pemangku Presiden UPKO merangkap Pembantu Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau.

Tambah Mohd. Shafie, kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji polisi dan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dalam institusi pendidikan di Sabah.

Pada sidang Dewan Rakyat yang lalu, Kementerian Pendidikan dalam jawapan bertulis berpendapat langkah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dalam negara ini tidak dapat dilaksanakan.

Kata kementerian itu langkah tersebut bertentangan dengan peraturan sedia ada, iaitu: Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan; Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pendidikan 1996 (termasuk semangat di sebalik penggubalan akta berkenaan). - K! ONLINE