Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, melalui notis berkenaan, pengguna domestik dan industri di kawasan terjejas diharap dapat melakukan persediaan dengan menyimpan air yang mencukupi bagi kegunaan selama dua hari.

"Kerja-kerja penambahbaikan ini tidak boleh ditangguh memandangkan perkakasan sistem bekalan elektrik tersebut sudah kritikal dan bagi mengelakkan gangguan air tidak berjadual di masa akan datang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam memaklumkan mengenai gangguan bekalan air hingga 86 jam di 577 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di LRA SSP2 pada 24 April.

Henti tugas LRA SSP2 itu akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 4,143,465 pengguna di kawasan terkesan iaitu Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor. - Bernama