Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, sebaliknya, matlamat utama projek itu adalah untuk merangsang persaingan dalam kalangan telco di dalam negara ini.

Jelasnya, melalui persaingan, rakyat akan menerima perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik malah syarikat juga akan terus menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.

"Melalui persaingan, kita akan dapat lihat lebih banyak syarikat telekomunikasi yang berdaya tahan. Syarikat seperti ini diperlukan untuk merancakkan ekonomi negara.

"Berdasarkan rekod, pada bulan Jun hingga Disember lalu, kita dapat lihat penurunan harga jalur lebar secara purata sebanyak 49 peratus. Ini dikukuhkan lagi dengan peningkatan kelajuan sebabyak 10 kali ganda," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat NFCP kepada media di sini hari ini.

Sebelum ini, SKMM menegaskan NFCP bukan satu projek mega seperti yang didakwa sesetengah pihak yang telah disebarkan melalui media sosial berikutan kosnya telah meningkat dari RM1 bilion ke RM21.6 bilion sejak pengumumannya dibuat dalam Bajet 2019.

NFCP yang akan dilancarkan pada 19 September ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan satu pelan yang diperlukan malah ia penting bagi menetapkan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan ketersediaan sambungan digital berkualiti tinggi serta mampu milik untuk negara.

Mengulas lanjut, menurut Al-Ishal, jumlah keseluruhan RM21.6 bilion merupakan data yang diperoleh pihaknya melalui dana Peruntukan Perkhidmatan Universal (USP).

Jelasnya, dana itu merupakan satu anggaran dan ia boleh berubah apabila NFCP diperbaiki dari masa ke semasa.

"Kita mengikut saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang mahu mengelakkan sebarang pertindihan terutamanya dalam pembangunan infrastuktur jalur lebar.

"Melalui NFCP, kita terus menekankan agar telco berkongsi infrastruktur, sumber dan matlamat untuk memberi liputan yang meluas, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk rakyat," katanya. - K! ONLINE