Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Kilometer 228, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka itu, dua beradik berkenaan pada mulanya dilaporkan parah.

Bagaimanapun, mereka menghembuskan nafas akhir di lokasi kejadian selepas ambulans yang membawa pasukan perubatan dikatakan lewat tiba gara-gara lorong kecemasan dihalang oleh kenderaan awam lain yang turut melaluinya.

Sebagai reaksi daripada kejadian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan 91 kenderaan awam yang dipercayai terlibat menghalang laluan ambulans dalam kes terbabit.

Seramai 20 pemandu berusia antara 23 hingga 61 tahun dihadapkan ke mahkamah pada 18 Julai 2016 dan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM2,000 seorang di bawah Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959.

Bermula dari situlah, pihak penguat kuasa khususnya JPJ dan polis mula mengetatkan peraturan jalan raya terutama melibatkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan sama ada di lebuh raya mahupun di jalan-jalan Persekutuan.

Kira-kira dua bulan selepas itu, iaitu pada 28 September, Ketua Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk V. Valluvan mendedahkan seramai 2,470 pesalah jalan raya yang menyalahgunakan laluan kecemasan di seluruh negara akan dihadapkan ke mahkamah bermula Oktober tahun berkenaan.

Ia menunjukkan betapa seriusnya pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang dan peraturan bagi memastikan tidak ada lagi pemandu keras kepala bermaharajalela dengan menjadikan lorong kecemasan sebagai laluan ekspres.

Selepas lebih tiga tahun kes tersebut berlalu, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 11 Ogos lalu, sebahagian besar lebuh raya dan jalan-jalan utama negeri di seluruh negara turut sesak dengan jutaan kenderaan yang dipandu warga kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jika tiga tahun dulu, dalam keadaan kesesakan jalan raya yang berlaku, sudah pasti akan ada pemandu keras kepala yang menggunakan lorong kecemasan untuk memintas barisan. Namun, berdasarkan pemerhatian penulis yang turut terpe­rangkap dalam kesesakan jalan raya untuk pulang ke kampung baru-baru ini, sikap keras kepala pemandu kenderaan nampaknya semakin pudar.

Sudah ramai pemandu yang memiliki sikap sabar dan terus beratur bersama-sama puluhan ribu kenderaan lain tanpa ada yang cuba untuk me­mintas barisan menggunakan lorong kecemasan.

Jika ada pun, hanya beberapa buah kende­raan yang masih dipandu individu keras kepala, manakala selebihnya tetap sedia berada di barisan walaupun sudah menempuh perjalanan berbelas jam.

Bagi penulis, kehilangan nyawa Mohamad Ma’arof dan adiknya, Alam Iqbal dalam kema­langan tiga tahun lalu itu telah membuka mata banyak pihak khususnya pemandu kenderaan sendiri betapa sikap keras kepala di jalan raya hanya akan menyusahkan pemandu lain selain boleh mengakibatkan nyawa orang lain terkorban.

Sama-samalah kita menjadi pemandu yang berhemah tidak kira di mana kita berada demi ke­sejahteraan bersama.