Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, sisa berjadual perlu dilupuskan mengikut prosedur operasi standard iaitu di tempat pelupusan berlesen, namun ada pihak tidak bertanggungjawab memilih jalan mudah dengan melakukan pembuangan sisa secara haram ke merata-rata tempat dipercayai kerana ingin menjimatkan kos.

"Kita berasa kesal apabila mendapati ada pihak yang masih ingkar dan membuang sisa buangan secara haram sehingga mengakibatkan sungai yang merupakan sumber air mentah itu tercemar sekali gus menjejaskan bekalan air.

"Justeru, kita akan melakukan siasatan bagi mengesan lokasi terbabit dalam usaha memastikan insiden seperti pembuangan sisa kimia di Johor pada Mac lepas tidak berulang berulang," katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Pembinaan Rumah Peduli di Lipat Kajang, Merlimau di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam berhubung penemuan longgokan bahan buangan dipercayai bahan buangan kilang di sepanjang Sungai Kelemak, Alor Gajah dekat sini.

Baru-baru ini, Loji Rawatan Air Gadek, Alor Gajah juga terpaksa menghentikan operasi ekoran pencemaran ammonia yang dikesan di Sungai Batang Melaka sehingga mengakibatkan bekalan air kepada lebih 18,000 penduduk di Simpang Ampat, Taman Kebaya-Jalan Kolam Air, Kawasan Perindustrian Kelemak, Saujana Height, Solok Duku dan Pulau Sebang terjejas. – Bernama