Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata mana-mana anggota dan kakitangan yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang serta-merta selain diberhentikan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan kes-kes sebegini. Bagaimana kita nak mempercayai mereka untuk memerangi dadah kalau mereka sendiri yang ambil dadah?

"Hasil siasatan kami mendapati anggota yang melakukan kesalahan ini mengambil dadah berikutan tekanan kerja, ada juga yang terlibat dengan aktiviti tersebut kerana mahukan kehidupan yang mudah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Persatuan Penduduk bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Johor, di sini hari ini.

Tambahnya, bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan, KDN telah mengambil langkah untuk menjalankan latihan dan ujian yang secukupnya sama ada dalam pengambilan kakitangan dan anggota baharu ataupun yang sedia ada.

"KDN melaksanakan pelbagai ujian termasuk ujian psikologi sejak peringkat kemasukan hingga kepada anggota yang sedia ada sebagai contoh, sekiranya mereka dinaikkan pangkat, mereka perlu menjalani ujian terlebih dahulu bagi memastikan keadaan mereka," jelasnya. - Bernama