Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan malah yakin isu sijil akademik palsu tidak berlaku dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, semua anggota pentadbiran kerajaan PH Negeri Sembilan saling mengenali dengan baik termasuk tentang kelulusan akademik masing-masing.

"Ada yang tidak ada sijil beritahu dia tidak ada sijil. Saya sendiri pun ada diploma, tetapi tidak pernah cakap saya ada ijazah.

"Sehingga kini isu sijil akademik palsu tidak berlaku dalam kerajaan di negeri ini. Saya tidak tahu kalau ia berlaku di luar kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Sembilan (NSCCCI) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen DAP Seremban.

Sebelum ini isu kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong menjadi polemik dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kadang-kala banyak perkara boleh berlaku dalam politik yang sengaja mahu ditularkan.

"Pihak yang membuat tuduhan namun perlu membuktikan dakwaan mereka terlebih dulu sebelum tindakan dapat dilakukan," katanya. - K! ONLINE