Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohd. Shakri Mohd. Salleh berkata, berdasarkan Ops Catut 5.0 yang dilancarkan pihaknya bermula 1 hingga 5 September lalu, tiada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dikesan di negeri ini.

"Pihak kami telah memeriksa 36 peruncit dan pembekal di seluruh Perlis melibatkan 1,080 barangan.

"Selain itu, empat hotel, dua perkhidmatan kargo serta dua perkhidmatan feri turut diperiksa namun tidak mengesan sebarang kenaikan harga.

"Malah, saya jangka tidak berlaku kenaikan sekiranya stok barangan yang lama digantikan dengan stok baharu kelak," katanya pada Ops Khas SST di Pasar Raya Besar Giant Kangar di sini hari ini.

Turut hadir, Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian SST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis, Dr. Ku Azizah Ku Daud.

Cukai SST bermula pada 1 September lalu bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). - K! ONLINE