Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, mereka tidak akan menyembunyikan perkara itu jika benar ia berlaku.

"Setakat sekarang kita tidak mencatatkan sebarang kematian akibat kes HFMD. Jika ada kita akan laporkan kepada media," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau mengulas perkongsian menerusi aplikasi WhatsApp semalam yang mendakwa terdapat kematian akibat HFMD di negeri ini.

Mengulas lanjut, Dr. Afif berkata, sebanyak 2,170 kes HFMD dilaporkan dari Januari sehingga semalam iaitu peningkatan 100.2 peratus atau 1,084 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan 97 kluster ditutup dari awal tahun hingga semalam berbanding hanya lapan bagi tempoh sama pada 2017. - Bernama