Beliau menjelaskan semua hasil kutipan GST dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan sebelum disalurkan kepada tabung amanah untuk membayar tuntutan balik GST berdasarkan permintaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, prosedur tersebut termaktub di bawah Akta Prosedur Kewangan 1957 di mana maklumat itu boleh didapati daripada Jabatan Akauntan Negara dan Bahagian Fiskal, Kementerian Kewangan.

"Dalam mesyuarat bulanan pengurusan aliran tunai kerajaan pusat, pihak Kastam akan membentangkan keperluan dana untuk membuat bayaran balik dan jumlah tertunggak yang perlu dibayar.

"Berdasarkan keperluan mereka (Kastam) dan kedudukan hasil kerajaan, mesyuarat akan membuat keputusan berapa jumlah peruntukan kepada tabung amanah itu perlu dibuat," katanya ketika ditemui media di sini hari ini. - Bernama