Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad berkata, berasaskan situasi itu, pihak­nya sedang berusaha menambah baik kurikulum sedia ada kerana pastinya terdapat jurang yang perlu ditokok tambah dan disesuaikan dengan perubahan semasa.

“Jika tidak dilakukan dalam tempoh terdekat, mungkin graduan bumiputera yang dikeluarkan setiap tahun pada masa akan da­tang sukar mendapatkan peluang pekerjaan di pelbagai sektor industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Research, Industry & Alummni Community 2019 di UiTM di sini semalam.

Turut hadir Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Dr. Tuan Rosli Tuan Hassan dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni, Dr. Syerina Azlin Md. Nasir.

Beliau berkata, ketika diminta mengulas kebimbangan pelbagai pihak bahawa jumlah kemasukan pelajar bumiputera ke universiti itu akan berkurangan, jika kerajaan melayan desakan pihak tertentu agar UiTM membuka ruang kepada bukan bumiputera.

Syed Zainal berkata, terdapat beberapa cadangan supaya UiTM memberi ruang kepada pelajar bukan bumiputera, untuk meningkatkan daya saing bumiputera, tetapi yang lebih penting sekarang perhatian perlu diberikan dalam kaedah yang berbeza.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga bercadang akan menarik minat 750,000 alumni UiTM kembali bagi membantu dalam bentuk tenaga mengikut kepakaran masing-masing dan menyumbang dalam dana wakaf yang ditubuhkan.

Katanya, mereka terdiri daripada pelbagai golongan terma­suk tokoh korporat, arkitek dan profesor yang lebih berkemampuan untuk memberi sumbang­an yang lebih bermakna.

Beliau berkata, menerusi dana itu UiTM boleh mengeluarkan biasiswa kepada pe­la­jar terutama kepada pelajar miskin yang sangat memerlukan sumbangan. – Bernama

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.