Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui kerjasama beliau dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi terutamanya item-item utama seperti ayam, daging dan telur.

"Setakat hari ini kita dah masuk 21 Ramadan, tinggal sembilan hari lagi sebelum hari raya. Pusat aduan KPDNHEP belum menerima apa-apa aduan berkait dengan kekurangan bekalan.

"Kalau ini (kekurangan bekalan) berlaku kesannya adalah aduan tentang peningkatan harga barang," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada orang awam di Pasaraya Giant Bayan Baru, dekat sini hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak itu telah menyediakan 10 periuk bubur lambuk untuk diedarkan kepada kira-kira 300 orang Islam dan bukan Islam yang berkunjung ke pasaraya itu. - Bernama