Tidak ketinggalan Pasaraya Besar dan Gedung Serbaneka Pasific dan Komplek Batu Pahat meraikan majlis berbuka puasa bersama 72 anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Batu Pahat.

Pengurus Kanan Wilayah Selatan Kumpulan The Store, Peter Lim Chew Keat berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan saban tahun antara lainnya berkongsi keceriaan dan bersyukur dengan kemeriahan Ramadan.

"Kesejahteraan anak-anak yatim sememangnya sentiasa diambil berat oleh Pacific dan kami sentiasa berusaha untuk  menyumbang ke arah memperbaiki taraf hidup mereka.

“Harapan saya agar dapat menambah barakah dan silaturahim sesama kita bersempena bulan ramadan yang mulia ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Batu Pahat Mall di sini hari ini.

Hadir sama ialah Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor, Pengarah Urusan Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi dan Pengurus Cawangan Pasaraya Besar dan Gedung Serbaneka Pasific Batu Pahat, Tan Cheng Leong.

Chew Keat merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada Faiza Rice Sdn. Bhd. kerana sudi memberi sumbangan setiap tahun bagi menyerikan majlis berbuka puasa tersebut.

Sementara itu, salah seorang anak yatim, Ahmad Farhan Anuar, 12, menzahirkan kesyukuran apabila diraikan dalam majlis yang penuh makna dan nilai kekeluargaan.

"Dengan adanya sambutan seperti ini sekurang-kurangnya kami dapat merasai kemeriahan bulan Ramadan dengan berbuka puasa beramai-ramai, hilang kerinduan kepada ayah yang sudah meninggal dunia 10 tahun lalu," katanya.

Rakannya, Muhammad Hilmi Saludin, 13, turut berkongsi kegembiraan apabila menerima sumbangan Pek Hadiah serta Paket Raya sebagai persediaan untuk menyambut hari raya Aidilfitri. - K! ONLINE