Ketua Unit Rondaan Tabung Haji, Inspektor Abdullah Jauhari berkata, penambahan bilangan lokasi itu bertujuan memperluaskan lagi kawasan rondaan dalam usaha membantu para jemaah yang tersasar, terutamanya jemaah yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

"Anggota pasukan kita akan ditempatkan di dalam dan luar kawasan masjid dan di tempat-tempat strategik untuk membendung masalah jemaah tersasar ini," katanya semasa ditemui media di sini, hari ini. 

Pasukan Peronda TH di Tanah Suci ditubuhkan untuk menjaga keselamatan jemaah haji dan memberi bantuan dari segi moral dan bantuan yang sewajarnya diberikan, termasuk permasalahan kecil yang melibatkan ibadah haji.

"Tugas utama pasukan ini sebagai penunjuk arah kepada jemaah haji yang tersasar atau terpisah daripada keluarga mereka di samping memberi bantuan sekiranya jemaah mengalami kecederaan atau penat semasa berada di masjid. - Bernama