Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, program ini dilancarkan dengan objektif untuk menggalakkan para jemaah haji Malaysia membersihkan sendiri khemah mereka secara bergotong-royong semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Satu aspek yang selalu dipantau oleh TH (semasa di masyair) adalah aspek kebersihan (kawasan khemah). Maklumlah, jemaah haji dari seluruh dunia akan berkumpul di situ serentak semasa masyair.

"Aspek kebersihan ini jarang diambil berat oleh jemaah (semasa masyair) dan kita sebagai jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan adab dan sopan santun, ingin menambah satu lagi nilai (murni) jemaah kita (dengan pelaksanaan program ini)," katanya kepada media selepas melancarkan Program Kebersihan Perdana Masyair di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Duta Malaysia Datuk, Zainol Rahim Zainuddin.

Untuk kempen kebersihan ini, Mujahid berkata, pihak TH akan menyediakan plastik sampah hitam yang akan diletakkan oleh pengurus maktab di beberapa tempat strategik dan jemaah perlu membawa plastik sampah yang kecil bagi memudahkan urusan untuk mengutip sampah. - Bernama