TH berkata proses kemas kini itu bertujuan untuk memudahkan pihaknya menghubungi pendeposit  selain mengelakkan kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah berkata daripada sejumlah 9.3 juta pendeposit TH, hanya 2.9 juta pendeposit telah mengemas kini profil peribadi masing-masing.

"Saya berharap kesemua  pendeposit mengambil perhatian, dan mengambil tindakan susulan bagi memastikan kelancaran penyaluran makluman penting oleh TH kepada pendeposit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Proses kemas kini itu boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

"Proses itu juga boleh dilakukan di kaunter-kaunter rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik di seluruh negara," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di 03-6207 1919. - Bernama